MOTO:
Sentiasa berusaha untuk melaksana & mendapat yang terbaik; Sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk. ( Hope for he best; be prepared for the worst)

KEYAKINANKU:
Allah tidak membebankan hambaNya kecuali apa yang mampu ditanggung olehnya.(Maksud Surah alBaqarah)
Allah sentiasa berikan yang terbaik untuk hambaNya. Berdoa & berharaplah hanya padaNya, Tuhan yang satu!

DOAKU PADAMU, YA ALLAH:

Ya Allah , aku tidak pernah memohon untuk dikecilkan ujianMu tapi ku sentiasa berharap Kau besarkanlah iman di hatiku utk menempuh sgala ujianMu dgn redha dan tabah. Rahmatilah aku dalam setiap nafas yg masih berbaki. Amiin.

Saturday, June 23, 2012

DOA

Sudah beberapa hari inginku catatkan di sini sedikit pengajaran yang ku alami sendiri namun dek kesibukan pelbagai urusan, tertangguh hasrat tersebut. 

Aku amat yakin bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku dan anak-anakku. Sering ku tertanya-tanya kenapa doa-doaku dalam sujud-sujud solat fardhu, hajat, tahajjud serta bacaan ma'thurat belum Allah maqbulkan. Seringkali basah tempat sujudku lantaran kesungguhan doa, rojaa' dan munajatku padaNya. Adakah perancangan Allah berbeza daripada apa yang ku impikan. Terasa banyaknya dosa sehingga Allah belum memperkenankan lagi doa-doaku.

Namun, sesungguhnya Allah pimpin aqalku ini untuk berfikir. Petang Rabu lepas, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah selepas habis waktu sekolah, seperti biasa akan ku dengar ceramah melalui Radio Kedah & Radio P.Pinang yang ke udara setiap hari pada pukul  2 - 3 ptg. 

Tidak sempat ku tahu siapakah ustaz yang menyampaikannya kerana agak terlewat untuk mengikutinya dari awal siaran. Namun, apa yang penting adalah isi kandungan ceramah tersebut.

Intipati ceramah tersebut yang berkisar soal DOA.

TERTIB BERDOA UNTUK MENDAPAT DOA YANG MAQBUL

Pertama:
Setiap orang yang dalam kesusahan dan kegelisahan perlulah sentiasa berdoa memohon pertolongan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah swt.  Latihlah diri untuk bangun solat malam kerana di saat oranglain nyenyak tidur, Allah amat menyukai orang-orang yang meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk berdampingan denganNya.

Teringat juga perkaitan dengan ceramah lain yang ku dengar tentang para salafussoleh sangat menjaga amalan / perlakuan  di siang hari agar ibadat mereka di malam hari khusyu',  berkualiti dan diterima Allah.

Kedua:
Ucapkan dan berzikirlah sebanyak mungkin doa Nabi Yunus a.s dalam perut ikan iaitu

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”[1]

Munajatlah dengan bersungguh-sungguh dengan linangan airmata memohon hanya kepada Allah s.w.t. Kita insan yang lemah, sebagai hamba Allah tiada daya dan upaya untuk melakukan atau mendapat sesuatu melainkan  dengan izin Allah jua.

Ketiga:
Jangan putus asa, teruskan berdoa dengan yakin bahawa Allah Maha Mendengar dan akan mengurniakan yang terbaik untuk hambaNya yang meminta.

SEBAB-SEBAB DOA TIDAK DIMAQBULKAN:

Pertama:
Ada perkara yang haram yang masih kita makan, ambil atau amalkan seperti riba, rasuah, tahyul, khurafat dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi semaklah setiap apa yang kita lakukan.

Kedua:
Allah tidak memaqbulkan permintaan kita kerana Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik bagi kita yang kita sendiri pun tak terfikir mengenainya. Sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang.  Dia sebenarnya menyediakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita minta. 

Allah mungkin telah memaqbulkan tetapi kita sendiri tidak sedar pun yang doa kita telah tertunai. Allah mungkin tak beri direct kepada kita tetapi beri kepada anak-anak kita. Allah beri ketenangan dan kebahagiaan dan sebagainya yang kita sendiri tak sedar sebenarnya apa yang kita dapat adalah Allah beri kerana doa-doa kita.

Ketiga:
Allah menangguhkan untuk memaqbulkan doa kita kerana Dia nak kita terus berdoa dan mendekatkan diri kita  padaNya.  Mungkin kita akan berhenti meminta sekiranya cepat doa kita dimaqbulkan. Manusia hanya akan memohon bersungguh-sungguh ketika dalam kesusahan atau untuk mencapai hajat tetapi apabila telah mencapainya, mereka tidak lagi berbuat demikian.

MasyaAllah, setiap kata-kata penceramah ku hayati dan fahamkan betul-betul. Ku berdoa semoga ku akan sentiasa ingat pesanan-pesanan ini. Ku semak dan muhasabah diri tentang kemungkinan sebab-sebab doa-doaku ada yang belum dimaqbulkan.

Tiba-tiba, pada malam harinya selepas solat maghrib anak sulungku, Izzah yang sedang menuntut di Tahun 3 Pengurusan Perniagaan UIAM  menelefonku dengan berkata 'Mama, Kak Long baru dapat keputusan exam. Kak Long betul-betul tak sangka result Kak long secemerlang ini, dapat 4A'. Ini keputusan semester exam terbaik Kak Long setakat ini.' Alhamdulillah, sebagai ibu yang juga sekaligus kini bapa kepada anak-anakku, aku amat gembira. Di saat itu teringat kembali beberapa hari sebelum tu juga seorang demi seorang anak-anakku telah menelefon memberitahu peningkatan pencapaian dan keputusan cemerlang mereka dalam peperiksaan. Berita keputusan peperiksaan Izzah adalah yang  paling akhir ku terima.

Bila teringatkan semua itu, terus ku sujud syukur dengan sebak. Alhamdulillah. Sebenarnya Allah telah memperkenankan sebahagian daripada doa-doaku padaNya agar anak-anakku cemerlang dalam pelajaran, turut ku doakan agar mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Ku kaitkan dengan intipati ceramah yang ku dengar pada siang harinya. Walaupun ada lagi doa-doaku yang masih belum maqbul, aku akan terus berdoa dan merayu pada Allah agar dikurniakan yang terbaik. Ku mengharapkan perancangan Allah sama dengan apa yang diimpikan. Ku harap Allah memberiku petunjuk seandainya masih ada perkara yang  ku lakukan yang membuatkan doa-doaku tidak maqbul.

Jika Allah tidak memaqbulkan doaku, aku pasrah dan yakin sesungguhnya pasti ada perancangan Allah yang lebih baik untukku. Jauh lebih baik darpada apa yang ku pohonkan.

Jika Allah menangguhkan untuk memaqbulkannya dengan cepat, aku perlu redha. Allah hendak aku lebih dekat berdamping padaNya. Aku perlu sentiasa positif yang Allah sayangkan aku dan pastinya Allah  ingin aku terus memohon, merayu dan meletakkan pergantungan 100% padaNya.  

Kesimpulannya, Allah beri petunjuk dan hidayah melalui ceramah yang ku dengar untuk  ku fkirkan bahawa kita perlu sentiasa meletakkan pengharapan yang tidak berbelah bahagi dan terus berdoa bersunguh-sungguh pada Allah. 

Kita perlu bersangka baik dengan Allah dan yakin Allah akan memaqbulkan doa-doa kita. Jika kita rasa doa-doa kita belum dimaqbulkan, semaklah amalan-amalan kita, fikir-fikirkanlah mungkin Allah telah pun memaqbulkannya tapi dari perspektif yang berbeza daripada apa yang terfikir oleh kita. 

Seandainya doa kita belum dimaqbulkan, yakinlah bahawa Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik bagi kita dan mahu kita terus munajat dan mengukuhkan serta berdampingan dengan Allah. Allah mahu kita terus didik hati kita untuk terus  bersabar agar bila apa yang dipohon ditunaikan, nikmatnya MasyaAllah tidak akan terucap oleh kita. Terfikir olehku tentang hajat yang belum tertunai, sekali lagi ku perlu positif. Mungkin Allah mahu aku betul-betul mendidik diri agar bersabar, memperbaiki diri dan amalan serta  benar-benar bersedia untuk menghadapi ujian-ujian seterusnya sekiranya hajat itu tertunai .

Ya Allah, janganlah Kau uji aku dengan perkara-perkara yang ku tak mampu menghadapinya. Kurniakanlah ketabahan, kekuatan rohani dan jasmani  serta kesabaran untukku menghadapi setiap ujianMu. Didiklah hatiku untuk makin redha dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah. Maqbulkanlah doa-doa kami yang terlalu mengharapkan. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang tersirat di hatiku.

Amiin..

 23.6.12 10.30 mlm.

2 comments:

  1. Alhamdulillah ..
    Satu tazkirah yang cemerlang..
    Semoga perkongsian kak hajah dapat di manfaat kan Oleh semua muslimin Dan muslimat..
    JazakaLLahu khair..kak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas sokongan adik. Sesungguhnya yg baik itu drp Allah, yg lemah itu drp diri akak sendiri.

      Delete