MOTO:
Sentiasa berusaha untuk melaksana & mendapat yang terbaik; Sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk. ( Hope for he best; be prepared for the worst)

KEYAKINANKU:
Allah tidak membebankan hambaNya kecuali apa yang mampu ditanggung olehnya.(Maksud Surah alBaqarah)
Allah sentiasa berikan yang terbaik untuk hambaNya. Berdoa & berharaplah hanya padaNya, Tuhan yang satu!

DOAKU PADAMU, YA ALLAH:

Ya Allah , aku tidak pernah memohon untuk dikecilkan ujianMu tapi ku sentiasa berharap Kau besarkanlah iman di hatiku utk menempuh sgala ujianMu dgn redha dan tabah. Rahmatilah aku dalam setiap nafas yg masih berbaki. Amiin.

Saturday, June 23, 2012

DOA

Sudah beberapa hari inginku catatkan di sini sedikit pengajaran yang ku alami sendiri namun dek kesibukan pelbagai urusan, tertangguh hasrat tersebut. 

Aku amat yakin bahawa Allah Maha Mengetahui apa yang terbaik untukku dan anak-anakku. Sering ku tertanya-tanya kenapa doa-doaku dalam sujud-sujud solat fardhu, hajat, tahajjud serta bacaan ma'thurat belum Allah maqbulkan. Seringkali basah tempat sujudku lantaran kesungguhan doa, rojaa' dan munajatku padaNya. Adakah perancangan Allah berbeza daripada apa yang ku impikan. Terasa banyaknya dosa sehingga Allah belum memperkenankan lagi doa-doaku.

Namun, sesungguhnya Allah pimpin aqalku ini untuk berfikir. Petang Rabu lepas, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta untuk pulang ke rumah selepas habis waktu sekolah, seperti biasa akan ku dengar ceramah melalui Radio Kedah & Radio P.Pinang yang ke udara setiap hari pada pukul  2 - 3 ptg. 

Tidak sempat ku tahu siapakah ustaz yang menyampaikannya kerana agak terlewat untuk mengikutinya dari awal siaran. Namun, apa yang penting adalah isi kandungan ceramah tersebut.

Intipati ceramah tersebut yang berkisar soal DOA.

TERTIB BERDOA UNTUK MENDAPAT DOA YANG MAQBUL

Pertama:
Setiap orang yang dalam kesusahan dan kegelisahan perlulah sentiasa berdoa memohon pertolongan dengan bersungguh-sungguh kepada Allah swt.  Latihlah diri untuk bangun solat malam kerana di saat oranglain nyenyak tidur, Allah amat menyukai orang-orang yang meninggalkan tempat tidur semata-mata untuk berdampingan denganNya.

Teringat juga perkaitan dengan ceramah lain yang ku dengar tentang para salafussoleh sangat menjaga amalan / perlakuan  di siang hari agar ibadat mereka di malam hari khusyu',  berkualiti dan diterima Allah.

Kedua:
Ucapkan dan berzikirlah sebanyak mungkin doa Nabi Yunus a.s dalam perut ikan iaitu

لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحانَكَ إِنّى‏ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمينَ
“Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”[1]

Munajatlah dengan bersungguh-sungguh dengan linangan airmata memohon hanya kepada Allah s.w.t. Kita insan yang lemah, sebagai hamba Allah tiada daya dan upaya untuk melakukan atau mendapat sesuatu melainkan  dengan izin Allah jua.

Ketiga:
Jangan putus asa, teruskan berdoa dengan yakin bahawa Allah Maha Mendengar dan akan mengurniakan yang terbaik untuk hambaNya yang meminta.

SEBAB-SEBAB DOA TIDAK DIMAQBULKAN:

Pertama:
Ada perkara yang haram yang masih kita makan, ambil atau amalkan seperti riba, rasuah, tahyul, khurafat dan sebagainya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Jadi semaklah setiap apa yang kita lakukan.

Kedua:
Allah tidak memaqbulkan permintaan kita kerana Dia Maha Mengetahui apa yang lebih baik bagi kita yang kita sendiri pun tak terfikir mengenainya. Sesungguhnya Allah sebaik-baik Perancang.  Dia sebenarnya menyediakan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita minta. 

Allah mungkin telah memaqbulkan tetapi kita sendiri tidak sedar pun yang doa kita telah tertunai. Allah mungkin tak beri direct kepada kita tetapi beri kepada anak-anak kita. Allah beri ketenangan dan kebahagiaan dan sebagainya yang kita sendiri tak sedar sebenarnya apa yang kita dapat adalah Allah beri kerana doa-doa kita.

Ketiga:
Allah menangguhkan untuk memaqbulkan doa kita kerana Dia nak kita terus berdoa dan mendekatkan diri kita  padaNya.  Mungkin kita akan berhenti meminta sekiranya cepat doa kita dimaqbulkan. Manusia hanya akan memohon bersungguh-sungguh ketika dalam kesusahan atau untuk mencapai hajat tetapi apabila telah mencapainya, mereka tidak lagi berbuat demikian.

MasyaAllah, setiap kata-kata penceramah ku hayati dan fahamkan betul-betul. Ku berdoa semoga ku akan sentiasa ingat pesanan-pesanan ini. Ku semak dan muhasabah diri tentang kemungkinan sebab-sebab doa-doaku ada yang belum dimaqbulkan.

Tiba-tiba, pada malam harinya selepas solat maghrib anak sulungku, Izzah yang sedang menuntut di Tahun 3 Pengurusan Perniagaan UIAM  menelefonku dengan berkata 'Mama, Kak Long baru dapat keputusan exam. Kak Long betul-betul tak sangka result Kak long secemerlang ini, dapat 4A'. Ini keputusan semester exam terbaik Kak Long setakat ini.' Alhamdulillah, sebagai ibu yang juga sekaligus kini bapa kepada anak-anakku, aku amat gembira. Di saat itu teringat kembali beberapa hari sebelum tu juga seorang demi seorang anak-anakku telah menelefon memberitahu peningkatan pencapaian dan keputusan cemerlang mereka dalam peperiksaan. Berita keputusan peperiksaan Izzah adalah yang  paling akhir ku terima.

Bila teringatkan semua itu, terus ku sujud syukur dengan sebak. Alhamdulillah. Sebenarnya Allah telah memperkenankan sebahagian daripada doa-doaku padaNya agar anak-anakku cemerlang dalam pelajaran, turut ku doakan agar mereka berjaya di dunia dan akhirat.

Ku kaitkan dengan intipati ceramah yang ku dengar pada siang harinya. Walaupun ada lagi doa-doaku yang masih belum maqbul, aku akan terus berdoa dan merayu pada Allah agar dikurniakan yang terbaik. Ku mengharapkan perancangan Allah sama dengan apa yang diimpikan. Ku harap Allah memberiku petunjuk seandainya masih ada perkara yang  ku lakukan yang membuatkan doa-doaku tidak maqbul.

Jika Allah tidak memaqbulkan doaku, aku pasrah dan yakin sesungguhnya pasti ada perancangan Allah yang lebih baik untukku. Jauh lebih baik darpada apa yang ku pohonkan.

Jika Allah menangguhkan untuk memaqbulkannya dengan cepat, aku perlu redha. Allah hendak aku lebih dekat berdamping padaNya. Aku perlu sentiasa positif yang Allah sayangkan aku dan pastinya Allah  ingin aku terus memohon, merayu dan meletakkan pergantungan 100% padaNya.  

Kesimpulannya, Allah beri petunjuk dan hidayah melalui ceramah yang ku dengar untuk  ku fkirkan bahawa kita perlu sentiasa meletakkan pengharapan yang tidak berbelah bahagi dan terus berdoa bersunguh-sungguh pada Allah. 

Kita perlu bersangka baik dengan Allah dan yakin Allah akan memaqbulkan doa-doa kita. Jika kita rasa doa-doa kita belum dimaqbulkan, semaklah amalan-amalan kita, fikir-fikirkanlah mungkin Allah telah pun memaqbulkannya tapi dari perspektif yang berbeza daripada apa yang terfikir oleh kita. 

Seandainya doa kita belum dimaqbulkan, yakinlah bahawa Allah menyediakan sesuatu yang lebih baik bagi kita dan mahu kita terus munajat dan mengukuhkan serta berdampingan dengan Allah. Allah mahu kita terus didik hati kita untuk terus  bersabar agar bila apa yang dipohon ditunaikan, nikmatnya MasyaAllah tidak akan terucap oleh kita. Terfikir olehku tentang hajat yang belum tertunai, sekali lagi ku perlu positif. Mungkin Allah mahu aku betul-betul mendidik diri agar bersabar, memperbaiki diri dan amalan serta  benar-benar bersedia untuk menghadapi ujian-ujian seterusnya sekiranya hajat itu tertunai .

Ya Allah, janganlah Kau uji aku dengan perkara-perkara yang ku tak mampu menghadapinya. Kurniakanlah ketabahan, kekuatan rohani dan jasmani  serta kesabaran untukku menghadapi setiap ujianMu. Didiklah hatiku untuk makin redha dan mengamalkan sifat-sifat mahmudah. Maqbulkanlah doa-doa kami yang terlalu mengharapkan. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui apa yang tersirat di hatiku.

Amiin..

 23.6.12 10.30 mlm.

Thursday, June 21, 2012

Kelebihan Menyimpan Janggut Bagi Kaum Lelaki.

Kelebihan Menyimpan Janggut Bagi Kaum Lelaki.

Yakinlah bahawa setiap sunnah Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan mempunyai kelebihan. Barangsiapa yang mengamalkan 1 sunnah Nabi di akhir zaman di zaman fahsya' dan munkar akan dikurniakan 100 pahala mati syahid. Rugilah jika sunnah Nabi yang kecil pun kita tidak mampu nak laksanakan. Bagi orang lelaki disarankan menyimpankan janggut dan menipiskan / mencukur misai. Namun, ianya perlu dijaga dan didandan akan kelihatan kemas dan bersih. Para isteri yang membantu suami untuk melaksanakan sunnah ini dan membantu menjaga dan mendandan janggut suami-suami mereka juga akan turut diberi ganjaran oleh Allah s.a.w.

Di dalam kitab 'Hukmul Ihya fil Islam' yang dinukilkan daripada Ibn Hibban, maksud hadith yang berikut diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a 'Rasulullah s.a.w telah bersabda :
' Di antara fitrah (Deen) Islam ialah mencukur misai mereka dan  dan menyimpan / memanjangkan janggut kerana sesungguhnya orang-orang Majusi menyimpan misai mereka dan mengerat janggut, berbezalah kamu daripada mereka dengan mengerat misai kamu dan memanjangkan janggut kamu'

Syeikhul Hadis Maulana Muhammad Zakariyya Kandhlavi telah menghuraikan dengan panjang lebar mengenai hal ini dalam bukunya yang bertajuk ' Janggut dan Kepentingannya'; diterjemahkan oleh Abdul Aziz Bin Abdul Hamid dan diterbitkan oleh Pustaka Habib.

Jom baca apa yang saya sedut daripada artikel-artikel lain mengenai janggut.

http://www.rindok.com/blog/rahsia-kelebihan-berjanggut-berjanggutlah-wahai-lelaki/
Jika wanita mementingkan kecantikan dan keserian wajah, lelaki juga tidak terlepas daripada memikirkan perihal yang sama. Cuma menjadi perbezaan antara ‘kecantikan’ wanita dan lelaki adalah janggut. Janggut merupakan aset yang mampu menjadikan seorang lelaki itu kelihatan lebih ‘tulen’. Terdapat pelbagai kelebihan dan kebaikan sekiranya seorang lelaki itu memiliki dan memelihara janggutnya. Antara kelebihan berjanggut adalah :

· Menampakkan kelelakian
· Kelihatan lebih ‘macho’
· Lebih hensem dan berkarisma
· Nampak soleh
· Membezakan lelaki sejati dengan lelaki yang tidak berapa sejati
· Lebih diminati wanita
· Mempunyai manfaat kesihatan
· Mencontohi fizikal tokoh-tokoh pemimpin dahulu

Namun ianya bukanlah sesuatu yang penting dan perlu di ambil berat malahan seorang lelaki yang berjanggut itu tetap lebih baik kelihatan daripada lelaki yang tidak berjanggut. Utamakan niat anda untuk berjanggut semata-mata ingin mengamalkan sebahagian daripada sunnah yang ditinggalkan Baginda Rasulullah SAW. Bukan berjanggut kerana mengikut fesyen terkini atau sebagainya.

Antara kata-kata ataupun hadith Baginda Rasulullah SAW yang berkaitan janggut adalah seperti :

“Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari)

“Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin dan peliharalah janggut kamu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai (kumis) mereka.” (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith di atas menunjukkan bahawa bukan sahaja Baginda Rasulullah SAW menyuruh kita agar berjanggut, tetapi melarang kita dari menyerupai orang kafir iaitu dengan memelihara misai dan mencukur janggut mereka.

Niatkan memelihara janggut kerana sunnah Rasullullh SAW nescaya anda akan melihat kelebihan dan merasai kebaikan berjanggut. Walaupun pada pandangan anda atau orang lain ianya nampak tidak cantik namun di sisi Allah SWT ianya sudahpun kelihatan elok dan sempurna.

Bahan bacaan lain mengenai hal ini:

http://hasnulhadiahmad.com/rahsia-di-sebalik-janggut-suami-pada-isteri/

http://al-ahkam.net/home/index.php?option=com_content&view=article&id=7044:jangan-menolak-semua-kebaikan-seseorang-hanya-kerana-dia-tidak-berjanggut&catid=58:maulana-mohd-asri-yusoff

http://suarataqwa.wordpress.com/category/sunah/page/2/

http://hazrilhafiz.blogspot.com/2012/03/bukti-kajian-saintifik-rahsia-nabi.html

Wahai lelaki, berjanggutlah.

Saturday, June 16, 2012

Kuliah Subuh Ust Badrul: Masjid AlHuda, Kilang Lama, Kulim.

16 Jun, 2012.
Alhamdulillah bersyukur sangat pagi ni, asbab anakanda Muaz Zulkhairi baru sampai ke rumah dari Kelantan sebelum waktu subuh, dapatlah mengikutnya sebagai mahram ke masjid utk solat subuh berjamaah & mendengar kuliah subuh pagi ini. Sayang sekali tak bawa pen & kertas utk mencatat kuliah menarik oleh Ust Badrul berkenaan penghayatan peristiwa Isra' & Mikraj. Beberapa isi penting ku catatkan di sini lepas balik dari masjid agar dapat menjadi perkongsian yg bermanfaat dengan  pembaca lain & juga agar ku tak lupa yang didengar tadi.

Intipati Kuliah: 
Tausiah Ust Badrul 1: 
Perjalanan menuju Ilahi perlu disertakan dgn pembersihan jiwa & pengorbanan yang tinggi. Turut dikaitkan iktibar kisah ulama' silam Ibrahim Adham & Abu Dzhar AlGhifaari. Mengenepikan keselesaan dunia demi mengapai redha Allah.
Tausiah Ust Badrul 2: 
Untuk kuat fizikal / jasmani, perlukan kekuatan rohaniah & dalaman. Antara cara untuk capai: menghidupkan solat malam. Isra' & Mikraj malam 27 Rejab di saat bulan semakin mengecil & suasana gelap; masa yang sangat tepat utk bina jiwa & kukuhkan hubungan dgn Allah.
Tausiah Ust Badrul ke3:
Org yg berlatar belakangkan pendidikan agama sekali pun jk tiada pengorbanan & penghayatan agama dlm kehidupan seharian adalah lebih buruk drpd org yg tiada latar belakang agama tetapi menghayati & mengamalkan ajaran Islam secara komprehensif.

Thursday, June 14, 2012

JOM BINA KEKUATAN DIRI DENGAN SOLAT MALAM

Tuan Guru Ustaz Nik Abdul Aziz Nik Mat.:
Kalau kita terjaga di tengah-tengah malam itu, ia sebenarnya satu anugerah dari Allah. Allah kirimkan malaikatNya mengejutkan kita supaya kita bangun beribadah kepada Allah. Sebagai tanda terima kasih kerana mengejutkan kita, paling malas pun, mintalah apa-apa (berdoa) walau sedikit (meskipun kita masih di tempat tidur) kepada Allah, kemudian tidurlah. Kalau kita sedar, kemudian kita terus sambung tidur tanpa ucapkan apa-apa (contoh beristighfar, bertahmid dan sebagainya), kemudian malam kedua dan malam ketiga pun begitu juga, kita bimbang (kalau) malaikat tidak akan datang lagi mengejutkan kita.
 Ya Allah, berilah kami kekuatan untuk istiqamahkan solat malam, perbanyakkan zikir & mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Bimbinglah dan berikanlah kami taufiq dan hidayahMu,tunjuki kami jalan yang lurus, jalan yang Kau redhai. Isikanlah hati-hati kami dengan kebesaran dan ma'rifatMu. 

Saturday, June 9, 2012

ANAK ASET IBUBAPA


Anak ke syurga atau neraka - Ustaz don daniyal don biyajid

PETUA UNTUK PARA ISTERI


 TIPS UNTUK MENJADI ISTERI CEMERLANG:
(share dari blog http://farishishak.blogspot.com)
Ceramah Ust azhar Idrus dari You Tube

A) 10 PETUA UNTUK MENJADI ISTERI SOLEHAH

http://farishishak.blogspot.com/2012/04/10-petua-untuk-menjadi-isteri-solehah.html

B) PETUA UNTUK ISTERI SENTIASA CANTIK DAN BAHAGIA

http://farishishak.blogspot.com/2012/05/petua-untuk-isteri-sentiasa-cantik-dan.html

C) 6 CARA PIKAT SUAMI SUPAYA TERUS SAYANG

http://farishishak.blogspot.com/2012/04/6-cara-pikat-suami-supaya-terus-sayang.html


D) SIFAT-SIFAT ISTERI YANG BAIK oleh Ust Azhar Idrus ( Siri  1 -5 )

Monday, June 4, 2012

SMA WILAYAH PERSEKUTUAN (kini SMAP LABU) sebuah NOSTALGIA

Catatan ini ditulis pada 30.5.12  sempena  30 tahun penubuhan SMAWiP / SMAPL  1982 -2012.

Semasa ke UIA P.Jaya untuk menjemput anakanda ke 2, Muhammad Muaz yang baru kembali dari projek bakti di Kemboja, aku mengambil kesempatan untuk terus ke kawasan belakang sekali. Teruja untuk melihat kawasan sekolahku yang dulunya tapak dan bangunan sekolah sementara sekolah berasrama penuh (SBP) agama ke2 Malaysia iaitu  SMA Wilayah Persekutuan sebelum berpindah ke dan bertukar nama kepada SMAP Labu, Negeri Sembilan. Dulu SMAWP / SMAL menumpang kawasan belakang UIA PJ sementara menunggu sekolah tetap dibina di Labu.

Aku berada mula belajar di sini mulai  tingkatan 4 (selepas memperolehi keputusan SRP cemerlang di SMKA Maahad Hamidiah, Kajang) iaitu Januari 1983 hingga ting 6 Rendah sementara pada Mac, 1985, kemudian menyambung pengajian di kawasan yang sama iaitu Universiti Islam Antarabangsa Petaling Jaya. Dulu, para pelajar sekolah-sekolah agama di Malaysia  yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan memenuhi kriteria ke Sekolah Berasrama Penuh akan dikumpulkan nama mereka, kemudian akan dibahagikan kepada 2 kumpulan, satu kmpulan akan ke Kolej Islam Kelang dan satu kumpulan lagi akan ke SMAWP.

Sekolah yang ku tinggalkan 28 tahun lepas ternyata kini amat berbeza. Berbagai perasaan bercampur sebaik sahaja melangkah masuk ke kawasan tersebut. Di situlah ku dididik, belajar pelbagai pengalaman dalam kehidupan alam remaja dan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sekolahku dulu bangunan kayu yang amat kecil, maklumlah sekolah sementara, ada 3 blok. Di tengah adalah blok kelas & pentadbiran, di kanan blok asrama lelaki & di kiri asrama perempuan.

Kini, blok asrama pelajar perempuan telah pun dirobohkan dan dibina bangunan batu yang baru. Yang masih ada adalah blok yang dulunya kelas & pentadbiran serta blok asrama pelajar lelaki. Bangunan-bangunan ini kini kelihatan amat usang dan dijadikan kelas-kelas tutorial oleh Pusat Asasi UIA PJ.

Sekolah ini telah berpindah ke Labu, Negeri Sembilan,tiada lagi nama SMA Wilayah Persekutuan, hanya tinggal nostalgia bersama pelbagai memorinya. Setiap kali menyebut nama sekolah ini semasa memberikan latar belakang pendidikan ku, perlu juga menerangkan yang ianya kini SMAP Labu, orang sudah tidak mengenali lagi sekolah ini yang suatu ketika dulu adalah antara sekolah yang amat cemerlang di Malaysia sehinggakan selepas keputusan SPM batchku diumumkan, satu dokumentari khas mengenai sekolah ini dipaparkan di TV RTM. Kini, yang masih ada sedikit persamaan hanyalah logo sekolah SMAP Labu.

Semuanya tinggal kenangan abadi & sejarah yang amat bermakna dalam hidupku dan semua warga SMAWP.






Inilah dulunya blok kelas & pejabat.Inilah satu-satunya gambar semasa SMAWP masih beroperasi si sini (gambar lama). Yang lain selepas ini di ambil pada 30.5.12.












Di kawasan lapang inilah tempat perhimpunan pagi.







Tangga untuk naik ke kelasku semasa tingkatan 4,5 dan 6 Rendah sementara. Lokasi ini jugalah yang pernah melakar sejarah peribadi utama untukku.


 Kelasku 5 Putih berada di tingkat satu sebaris dengan tingkatan 6 Rendah, 6 Atas dan pejabat.




Di tengah-tengah blok kelas.Jika tak silap, dulu ada taman & pokok-pokok di tengah-tengah blok ni.




Kelasku 5 Putih berada di tingkat satu sebaris dengan tingkatan 6 Rendah, 6 Atas dan pejabat.












Kelasku semasa tingkatan 4 Putih di tingkat satu sebaris dgn makmal bahasa dan kelas-kelas tingkatan 4 yang lain.