27 Mei, 2012 mencatatkan sejarah baru bagi anakanda ke 4, Najiha Zulkhairi (bertudung hitam) kerana pada hari ini, dia mendaftarkan diri sebagai pelajar Asasi Syariah di Asasi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri, Kelantan. Najiha juga adalah anak kembarku yang seiras dan seuri yang dilahirkan pada tahun 1994, namun kembarnya Aishah meninggal dunia semasa dilahirkan.
Sebagai ibunya, aku tahu Najiha masih berbelah bahagi kerana turut meminati bidang yang melibatkan pengiraan terutamanya Perakaunan dan juga Matematik. Walau bagaiman pun, semasa mendengar taklimat di APIUM tadi, Najiha masih ada peluang untuk terus belajar Syariah + Matematik& Muamalat/ Ekonomi.
Teringat kembali betapa sedihnya Najiha di saat abahnya tenat di hospital & dimasukkan ke ICU, serba salah dia nak pulang ke asrama selepas pulang cuti hari raya Aidil Fitri tahun lepas. Hanya tidak sampai 3 hari pulang ke asrama, menerima berita kematian abahnya. Arwah abahnya pulang mengadap Allah di saat dia memerlukan sokongan dan motivasi iaitu satu setengah bulan sebelum dia menghadapi peperiksaan penting SPM. Sebagai ibu, aku adalah orang yang perlu sentiasa kuat dan tabah untuk mengembalikan semangat dan memberikan motivasi agar anak-anak agar tidak terkesan dengan ujian ini dan dapat membina kekuatan dalaman agar kental menghadapi dugaan hidup.
Najiha telah cuba sedaya mungkin untuk menjawab soalan-soalan SPM sebaik mungkin dan Alhamdulillah, aku bersyukur kerana dia telah memperolehi 4A+ 2A 2A- 3B+. Aku tahu dia mengharapkan yang lebih baik namun kami redha dengan keputusan itu. Aku tahu anakku itu telah mencuba yang terbaik. Dari redup mata Najiha, aku tahu dia agak sedih kerana arwah abahnya yang beriya-iya memintanya bertukar sekolah daripada Maktab Mahmud Yan ke SMKA Baling, kini telah tiada untuk menyaksikan keputusan cemerlangnya itu.
Dan hari ini, dia mendaftar sebagai pelajar Universiti Malaya yang dulu universiti kebanggaan arwah abahnya. Namun, pendaftarannya pada kali ini tidak seperti yang dilalui oleh 3 orang kakak dan abang-abangnya yang kini menuntut di UIAM. Tiada lagi seorang bapa yang dapat bersama berkongsi kegembiraannya melangkah ke IPTA.
Aku dapat menyelami hati anakku ini tapi sebagai ibu, aku perlu sentiasa menceriakan suasana, tabah, kuat, menerapkan nilai redha dengan ketentuan Allah dan memberikan sokongan padu demi masa depan anak-anakku. Aku rela beratur hampir 2 jam bersama-sama Najiha, memastikan dia merasa sentiasa ada ibunya untuk berkongsi suka dukanya.
Hampir 5 bulan brcuti selepas SPM, Najiha memang banyak membantu kerja-kerja di rumah. Dia sememangnya anak yang solehah. Rutin hariannya di awal pagi selepas solat subuh dan membaca Quran adalah mengejutkan adik bongsunya untuk solat subuh (siap dengan doa bangun tidur agar adiknya ikut) dan siapkan adik ke sekolah. Semasa aku keluar bekerja, dialah yang akan melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh kain, memasak (tambah lauk yg aku masak sebelum keluar bekerja) dan mengemas rumah. Pada malam hari, dia akan memastikan serta membantu adiknya membuat kerja sekolah dan solat. Di saat adik hendak tidur, dialah yang memperingatkan adik tentang adab dan doa sebelum tidur. Semua itu dilakukannya tanpa aku menyuruhnya.
Tentu sekali adiknya Abdullah Husaini akan merasa amat kehilangan dan kesunyian tanpa Kak Najiha selepas kami pulang ke rumah kelak.
Semoga Allah mengurniakan segala kemudahan, rahmat, taufik dan hidayah dan segala kebaikan kepada anakku Najiha. Semoga Najiha dapat menyesuaikan dirinya dengan suasana baru di APIUM dan bumi Kelantan.
Ya Allah, bantulah anak-anakku di mana sahaja mereka berada. Peliharalah mereka dan didiklah hati serta jiwa mereka agar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Amiin.
Semoga anak2 Kakak menjadi anak yang solehah..gugur air mata baca nukilan Akak..masyaAllah TabaraKaLLah..
ReplyDeleteTerima kasih atas doa adik. Akak harap adik pun sudi doakan kak di tempat-tempat mustajab doa di Raudhah & Masjidil Haram, tempat2 yg adik sentiasa kunjungi di sana. Semoga akak dan anak-anak dimantapkan keimanan & tabah hadapi setiap ujian yang mendatang.
DeleteMula merasakan ketiadaan Najiha di rumah walaupun sejak tingkatan 1 dia tinggal di asrama. 5 bulan bercuti selepas SPM, dia banyak mainkan peranan & bantu di rumah. Alhamdulillah kini bertemankan pula anakanda Muaz yang bercuti sebelum kemasukan ke Tahun 1 utk program Ijazah mulai September ni.
ReplyDelete