Setelah
sekian lama Nabi Ibrahim dan isterinya berkahwin mereka tidak
dikurniakan anak oleh Allah s.w.t. maka satu hari isteri Nabi Ibrahim
(Sarah) telah mencadangkan agar Nabi Ibrahim berkahwin lagi.
Memandangkan usianya yang semakin tua akhirnya Nabi Ibrahim bersetuju
berkahwin dengan khadamnya yang bernama Hajar, dengan perkahwinan ini
akhirnya Hajar hamil dan melahirkan seorang anak lelaki yang bersih lagi suci dan beri nama Ismail (Nabi Ismail).
Isma`il (bahasa Arab: إسماعيل) bermaksud 'Allah telah mendengar' iaitu
Allah telah menjawab doa Nabi Ibrahim untuk mempunyai anak, dan Dia
menganugerahkannya Ismail. Nabi Ismail adalah putera pertama Nabi
Ibrahim a.s. dengan Hajar.
Nabi Ibrahim yang berhijrah
meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya dan Hajar, dayangnya di
tempat tujuannya di Palestin. Ia telah membawa pindah juga semua
binatang ternakannya dan harta miliknya yang telah diperolehinya sebagai
hasil usaha niaganya di Mesir. Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu
Abbas r.a. berkata:
"Pertama-tama yang menggunakan setagi
{setagen} ialah Hajar ibu Nabi Ismail tujuan untuk menyembunyikan
kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama berkumpul dengan Nabi
Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil. Tetapi walaubagaimana pun juga
akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi
Ismail a.s. Dan sebagai lazimnya seorang isteri sebagai Siti Sarah
merasa telah dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang dayangnya yang
diberikan kepada Nabi Ibrahim a.s. Dan sejak itulah Siti Sarah merasakan
bahawa Nabi Ibrahim a.s. lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa
sangat gembira dengan puteranya yang tunggal dan pertama itu, hal ini
yang menyebabkan permulaan ada keratakan dalam rumahtangga Nabi Ibrahim
a.s. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan hati jika melihat Siti Hajar
dan minta pada Nabi Ibrahim a.s. supaya menjauhkannya dari matanya dan
menempatkannya di lain tempat."
Untuk sesuatu hikmah yang belum
diketahui dan disedari oleh Nabi Ibrahim Allah s.w.t. mewahyukan
kepadanya agar keinginan dan permintaan Sarah isterinya dipenuhi dan
dijauhkanlah Ismail bersama Hajar ibunya dan Sarah ke suatu tempat di
mana yang ia akan tuju dan di mana Ismail puteranya bersama ibunya akan
ditempatkan dan kepada siapa akan ditinggalkan.
Maka dengan
tawakkal kepada Allah berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah
membawa Hajar dan Ismail yang diboncengkan di atas untanya tanpa tempat
tujuan yang tertentu. Ia hanya berserah diri kepada Allah yang akan
memberi arah kepada binatang tunggangannya. Dan berjalanlah unta Nabi
Ibrahim dengan tiga hamba Allah yang berada di atas punggungnya keluar
kota masuk ke lautan pasir dan padang terbuka di mana terik matahari
dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang
menghembur-hamburkan debu-debu pasir.
Ismail dan ibunya Hajar ditinggalkan di Makkah
Setelah berminggu-minggu berada dalam perjalanan jauh yang memenatkan,
tibalah pada akhirnya Nabi Ibrahim bersama Ismail dan ibunya di Makkah
kota suci dimana Kaabah didirikan dan menjadi kiblat manusia dari
seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada,
berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia
meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan
serantang bekal makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada
tumbuh-tumbuhan, tiada air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan
pasir kering. Alangkah sedih dan cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan
oleh Ibrahim seorang diri bersama dengan anaknya yang masih kecil di
tempat yang sunyi senyap dari segala-galanya kecuali batu gunung dan
pasir. Ia seraya merintih dan menangis, memegang kuat-kuat baju Nabi
Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah ia ditinggalkan seorang diri
di tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia, tiada seekor binatang,
tiada pohon dan tidak terlihat pula air mengalir, sedangkan ia masih
menanggung beban mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu. Nabi
Ibrahim mendengar keluh kesah Hajar merasa tidak tergamak
meninggalkannya seorang diri di tempat itu bersama puteranya yang sangat
disayangi akan tetapi ia sedar bahwa apa yang dilakukan nya itu adalah
kehendak Allah s.w.t. yang tentu mengandungi hikmat yang masih
terselubung baginya dan ia sedar pula bahawa Allah akan melindungi
Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dan segala kesukaran dan
penderitaan. Ia berkata kepada Hajar:
"Bertawakkallah
kepada Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada
kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke
sini dan Dialah yang akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang
sunyi ini. Sesungguh kalau bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali
aku tergamak meninggalkan kamu di sini seorang diri bersama puteraku
yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai Hajar bahwa Allah Yang Maha
Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa perlindungan-Nya. Rahmat
dan barakah-Nya akan tetap turun di atas kamu untuk selamanya,
insya-Allah."
Mendengar kata-kata Ibrahim itu segeralah Hajar
melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannyalah beliau
menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang
bercurahan membasahi tubuh Ismail yang sedang menyusu. Sedang Nabi
Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya keetika ia turun dari
dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana
isterinya Sarah sedang menanti. Ia tidak henti-henti selama dalam
perjalanan kembali memohon kepada Allah perlindungan, rahmat dan barakah
serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di
tempat terasing itu. Ia berkata dalam doanya:" Wahai Tuhanku! Aku telah
tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu
(Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar
mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati
sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki
dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."
Mata air Zamzam
Sepeninggal Nabi Ibrahim tinggallah Hajar dan puteranya di tempat yang
terpencil dan sunyi itu. Ia harus menerima nasib yang telah ditakdirkan
oleh Allah atas dirinya dengan kesabaran dan keyakinan penuh akan
perlindungan-Nya. Bekalan makanan dan minuman yang dibawanya dalam
perjalanan pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari
sepeninggalan Nabi Ibrahim. Maka mulailah terasa oleh Hajar beratnya
beban hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suaminya. Ia
masih harus menyusu anaknya, namun air susunya makin lama makin
mengering disebabkan kekurangan makan. Anak yang tidak dapat minuman
yang memuaskan dari susu ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak
henti-hentinya menangis. Ibunya menjadi panik, bingung dan cemas
mendengar tangisan anaknya yang sangat menyayat hati itu. Ia menoleh ke
kanan dan ke kiri serta lari ke sana ke sini mencari sesuap makanan atau
seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya dan meredakan tangisan
anaknya, namun sia-sialah usahanya. Ia pergi berlari harwalah menuju
Bukit Safa kalau-kalau ia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat
menolongnya tetapi hanya batu dan pasir yang didapatnya disitu, kemudian
dari Bukit Safa ia melihat bayangan air yang mengalir di atas Bukit
Marwah, dan larilah ia berharwahlah ke tempat itu, namun ternyata bahawa
yang disangkanya air adalah fatamorgana {bayangan} belaka dan
kembalilah ke Bukit Safa kerana mendengar seakan-akan ada suara yang
memanggilnya tetapi gagal dan melesetlah dugaannya. Demikianlah maka
kerana dorongan hajat hidupnya dan hidup anaknya yang sangat disayangi,
Hajar mundar-mundir berlari sampai tujuh kali (7x) antara Bukit Safa dan
Marwah yang pada akhirnya ia duduk termenung merasa penat dan hampir
berputus asa. Demikianlah Hajar berulang-alik diantara Shafa dan Marwa
sebanyak 7 kali. Dan hal inilah adanya ibadat haji disyariatkan yakni
ibadat Sai'.
Diriwayatkan bahawa selagi Hajar berada dalam
keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa kecuali dari rahmat Allah
dan pertolongan-Nya, datanglah kepadanya Malaikat Jibril bertanya:
"Siapakah sebenarnya engkau ini?" "Aku adalah hamba sahaya Ibrahim",
jawab Hajar. "Kepada siapa engkau dititipkan di sini?" tanya Jibril.
"Hanya kepada Allah", jawab Hajar. Lalu berkata Jibril: "Jika demikian,
maka engkau telah dititipkan kepada Dzat Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu dan tidak
akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."
Kemudian diajaklah Hajar mengikutinya pergi ke suatu tempat di mana
Jibril menginjakkan telapak kakinya kuat-kuat di atas tanah dan
segeralah memancur dari bekas telapak kaki itu air yang jernih dengan
kuasa Allah. Itulah dia mata air Zamzam yang sehingga kini dianggap
keramat oleh jemaah Haji, berdesakan sekelilingnya bagi mendapatkan
setitik atau seteguk air daripadanya dan kerana sejarahnya mata air itu
disebut orang "Injakan Jibril".
Alangkah gembiranya dan lega
dada Hajar melihat air yang mancur itu. Segera ia membasahi bibir
puteranya dengan air keramat itu dan segera pula terlihat wajah
puteranya segar kembali, demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat
bahagia dengan datangnya mukjizat dari sisi Tuhan yang mengembalikan
kesegaran hidup kepadanya dan kepada puteranya sesudah dibayang-bayangi
oleh bayangan mati kelaparan yang mencekam dada.
Mancurnya air
Zamzam telah menarik burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu
menarik pula perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang
merantau dan sedang berkhemah di sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari
pengalaman bahawa di mana ada terlihat burung di udara, nescaya
dibawahnya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka beberapa orang untuk
memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu pergi mengunjungi
daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita gembira
kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama
puteranya. Segera sekelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya
ke tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan
gembira oleh Hajar kerana adanya sekelompok suku Jurhum di sekitarnya,
ia memperolehi jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan
kesepian yang selama ini dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan
puteranya saja.
Hajar bersyukur kepada Allah yang dengan
rahmatnya telah membuka hati orang-orang itu cenderung datang meramaikan
dan memecahkan kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan sendirian oleh
Ibrahim.
1001 Sirah Nabi Muhammad
MOTO:
Sentiasa berusaha untuk melaksana & mendapat yang terbaik; Sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang buruk. ( Hope for he best; be prepared for the worst)
KEYAKINANKU:
Allah tidak membebankan hambaNya kecuali apa yang mampu ditanggung olehnya.(Maksud Surah alBaqarah)
Allah sentiasa berikan yang terbaik untuk hambaNya. Berdoa & berharaplah hanya padaNya, Tuhan yang satu!
DOAKU PADAMU, YA ALLAH:
Ya Allah , aku tidak pernah memohon untuk dikecilkan ujianMu tapi ku sentiasa berharap Kau besarkanlah iman di hatiku utk menempuh sgala ujianMu dgn redha dan tabah. Rahmatilah aku dalam setiap nafas yg masih berbaki. Amiin.
No comments:
Post a Comment